Soal Jawab | Salah Faham Bank Islam Dan Hukum Menggunakan Bank Konvensional

on Thursday, May 10, 2012


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum and hye everyone


Soal Jawab: Salah Faham Bank Islam Dan Hukum Menggunakan Bank Konvensional


ByFathullah Al-Haq (Universiti Yarmouk)
Soalan:
Adakah jatuh hukum haram sekiranya terdapat bank Islam di dalam sesebuah negara, tetapi tetap menggunakan khidmat bank Konvensional walaupun kononnya tidak mengambil faedah yang diberikan oleh pihak bank.

Jawapan:
Saya masih ingat lagi mengenai perbualan saya dengan seorang jutawan ternak sewaktu cuti raya yang lepas. Ketika itu sedang menghadiri kenduri majlis kesyukuran kawan saya yang hendak sambung belajar ke luar negara. Beliau (Uncle) merupakan jutawan muda yang sangat berjaya kerana perniagaannya bukan sahaja di Malaysia, malah menjangkau di beberapa buah negara di barat. Apabila bersembang dengan beliau, terlalu banyak pengalaman dan teori perniagaan yang beliau berikan. Sungguh, saya katakan bahawa beliau adalah seorang yang sangat kritis dalam berfikir dan merancang perniagaan.
“Kenapa produk bank Islam lebih mahal daripada bank konvensional, bukan ke sistem bank Islam adalah untuk memudahkan masyarakat Islam dan membantu kebajikannya?” tanya Uncle tersebut tiba-tiba ketika sedang berbual.
Saya sebenarnya tidak tahu apa niatnya sebenar, adakah mahu provoke saya yang mengaji dalam bidang pengajian Islam atau sebaliknya. Maka saya menjawab persoalan tersebut.
“Sebenarnya bank Islam masih baru lagi menjalankan operasinya, dan uncle pun sedia maklum mengenai sejarah kewujudannya. Maka sebagai ahli perniagaan, Uncle perlu tahu bahawa produk yang hendak ditawarkan masih baru dan terikat kepada pasaran serta kemampuan semasa sesebuah badan korporat itu. Hal ini berbeza dengan bank (badan korporat) yang berunsurkan faedah(interest), mereka sudah bertapak dengan begitu lama, dan kedudukan mereka sangat kukuh kerana sudah berpuluh tahun dibangunkan, tidak banyak persaingannya sebelum ini, maka tawarannya lebih murah berbanding dengan produk Perbankan Islam. Jika kita perasan, di dalam prinsip ajaran Islam, Islam sangat adil kerana menjaga kebajikan ke dua-dua belah pihak, tidak hanya menjaga kepuasan pelanggan (customer), malah menjaga juga kebajikan pihak penjual ” saya cuba memberi gambaran awal secara keseluruhan.
“So, why ada seorang mufti ni dia cakap abaikan sahaja Perbankan Islam jika terlalu mahal” ujar beliau lagi.
Saya sangat terkejut dengan ungkapan ini sebenarnya.
“Siapakah mufti tersebut? Jika dia mengeluarkan pendapat seperti itu, sebenarnya dia sedang menyembelih syarikat korporat Islam yang telah mendapat keizinan patuh syariah daripada majlis fatwa kebangsaan” saya menjawab.

Salah Faham
Hari ini kebanyakan masyarakat salah faham mengenai sistem Perbankan Islam, mereka hanya nampak bahawa sistem Perbankan Konvensional murah dan lebih terjamin. Bukan itu sahaja, malah mereka menuduh bank Islam mengambil kesempatan ke atas orang Islam. Ini adalah persepsi yang jauh menyimpang daripada hakikat yang sebenar. Contoh yang saya boleh berikan ialah apabila seseorang membuat pembiayaan rumah mengikut sistem Islam dengan kadar 7.80% oleh pihak bank, manakala sistem konvensional hanya mengenakan pembiayaan dengan kadar 5.80% sahaja. Teknik yang tidak disedari sebenarnya, mereka tidak memahami cara kiraan yang betul, menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah mengenai sistem syariah.
Sebenarnya, sistem perbankan Islam hanya mengenakan kadar 7.80% dari tahun pertama sehingga ke tahun 30 sebagai contoh, kadar ini tidak akan berubah sehinggalah jangka masa 30 tahun tersebut. Manakala Bank Konvensional tidak menawarkan bayaran bulanan kekal dengan kadar tersebut sepanjang 30 tahun pembiayaan, bermakna ia akan berubah mengikut keadaan semasa.
Jika kita sedar tentang hakikat pinjaman perumahan atau produk selainnya yang ditawarkan oleh pihak bank konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah untuk dua tahun pertama, tetapi pada tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar keputusan  BLR (Base Lending Rate) atau kadar pinjaman asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25% (sebagai contoh). Bagaimana jika % BLR melambung tinggi seperti 13% sebagaimana yang berlaku semasa krisis ekonomi. Bukankah pada waktu itu, kadar faedah (riba’) yang perlu dibayar oleh pelanggan juga sangat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank yang menjalankan sistem Perbankan Islam kerana di awal kontrak lagi telah ditetapkan harga jualannya (akad), tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati untuk memberi rebate (ibra’) atau diskaun jika pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal (EARLY SETTLEMENT). Perlu diketahui bahawa BLR merupakan kadar yang tidak menentu dan boleh melonjak naik bergantung pada keadaan ekonomi semasa.
Ini bermakna kenyataan yang menuduh sistem Perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi kepada pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai. Malah jika di lihat pada kadar pembiayaan  yang dikenakan oleh sistem Perbankan Islam untuk produk-produk pembiayaan perniagaan & pembiayaan perumahan juga membuktikan kadarnya adalah setara dengan kadar yang ditawarkan oleh sistem bank Konvensional. Selain itu juga, kos pembiayaan mempengaruhi beberapa perkara berikut seperti kadar pengurusan minimum dalam sesebuah bank Islam, prestasi dan kekuatan sesebuah organisasi yang memohon pembiayaan serta potensi dan risiko perniagaan yang diceburi.
Oleh itu, kita perlu faham bahawa konsep asas yang ada dalam Islam ialah adil, maka apa-apa transaksi yang berlaku antara dua pihak hendaklah jelas semasa kontrak (akad) yang pertama, jika kita fahami perkara ini dengan lebih jelas bahawa Islam tidak menzalimi kepada sesiapa pun sama ada pelanggan atau pun peniaga. Kalaulah kita mengambil sistem Perbankan Konvensional, sudah tentu kita akan mendapat faedah dengan kita tidak sedari, itulah yang dinamakan (riba’) yang sudah jelas pengharamannya di dalam al-Quran dan hadis nabi SAW atau pun membawa kepada kerugian jika keadaan ekonomi semasa tidak stabil, dengan ini pihak bank akan menaikkan kadar peratus bayaran kepada pelanggan tanpa sedar.

Masih tidak puas hati
Walaupun kita sudah mengetahui mengenai hakikat perjalanan sistem syariah dan konvensional. Ada juga sebahagian yang masih tidak berpuas hati lagi.
“Kami hendak bank Islam bukan hanya setara dengan bank Konvensional, malah kami hendak bank Islam jauh lebih murah berbanding sistem konvensional. Bukan ke sistem syariah membantu kebajikan masyarakat?” suara-suara yang tidak puas hati lagi kedengaran.
Situasi mudah yang saya boleh berikan ialah apabila kita menghantar anak kita ke sekolah agama swasta sebagai contoh (pilihan utama ibu bapa masa kini), maka ibu bapa diwajibkan membayar yuran sekolah yang lebih sedikit daripada sekolah biasa. Kalaulah pihak sekolah agama tidak mengambil yuran lebih daripada pihak ibu bapa, sudah tentu ia akan menjejaskan pengurusan sekolah tersebut seperti gaji guru, bil air dan elektrik, makanan serta sebagainya. Analogi mudah yang saya berikan di sini ialah mengenai pengurusan kewangan di sesebuah institusi.
Demikian jugalah pada sistem Perbankan Islam, harga yang ditawarkan mengikut kemampuan dan keperluan pasaran. Seperti saya katakan tadi, Islam amat menekankan konsep keadilan kepada ke dua-dua belah pihak iaitu pembeli dan penjual. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga. Oleh itu saya akan membawa beberapa fakta mengenai pengurusan sesebuah institusi bank Islam seperti berikut:
  1. Bank-bank yang menjalankan sistem perbankan Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga bermatlamatkan keuntungan agar organisasi dapat pergi lebih maju lagi kehadapan. Bagi mencapai sasaran itu, bank yang menjalankan sistem Perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf oleh syariah, ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan percuma.
  2. Bank-bank yang melaksanakan Perbankan Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik daripada hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang di beri secara percuma.
  3. Bank-bank yang melaksanakan Perbankan Islam mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti agar dapat dikekalkan bagi meneruskan “bank efficiency” dan “its competitiveness”.
  4. Bank-bank yang melaksanakan Perbankan Islam juga perlu membayar seluruh kos operasi bangunannya dan peralatannya. Justeru, jika khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin bank yang melaksanakan Perbankan Islam akan terus berkembang seperti Perbankan Konvensional yang sudah lama bertapak.
Oleh itu, umat Islam perlu sedar bahawa hakikat syarikat korporat yang berteraskan konvensional sudah terlalu lama bertapak dan sudah memakan terlalu banyak keuntungan, maka mereka lebih kuat kedudukannya berbanding dengan Perbankan Islam yang baharu sahaja bertapak. Maka menjadi kewajipan bagi masyarakat Islam untuk memilih Perbankan Islam agar pengurusannya terus meningkat dan maju sejurus mengurangkan lagi kos pengurusannya jika sudah teguh dan kuat.
Perkara ini juga boleh dibuktikan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia pada tahun 2005 yang menyebut bahawa aset ke semua bank-bank Islam di Malaysia hanya sebanyak RM 111.8 Billion, dan ianya hanya 11.6 peratus kecil daripada keseluruhan aset bank-bank di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa bank Konvensional sangat menguasai ekonomi berkali-kali ganda. Walaubagaimanapun, kita perlu bersyukur dengan kehadiran sistem-sistem Islam yang semakin banyak meresap ke dalam bank dan prestasi keuntungan bank-bank Islam ini dicatatkan meningkat dari tahun ke tahun.

Manfaat lain
Jika kita menggunakan sistem perbankan Islam, kita sebenarnya sudah membantu saudara-mara seakidah kita secara tidak langsung. Kita lihat balik hasil keuntungan daripada pelaburan pihak bank Islam bukan hanya untuk institusi mereka sahaja, malah mereka diwajibkan membayar zakat perniagaan setiap tahun, bukankah itu memajukan lagi ekonomi orang Islam secara amnya. Bukan itu sahaja, malah kebajikan lain juga telah diperuntukkan oleh pihak bank Islam seperti menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar-pelajar, sedekah kepada orang miskin, menyumbang kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan sebagainya. Bank Konvensional tidak wajib bagi mereka untuk membayar zakat, malah kebajikan lain juga tidak diperuntukkan. Jika kita menggunakan sistem Konvensional, sebenarnya kita sudah mengayakan dan menguatkan lagi institusi yang jelas keharamannya.
Jika kita perhalusi lagi, apabila pihak bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga akan menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun bank berkenaan sebagai contoh akaun (Al-Mudharabah), sudah tentu penyimpan (pelabur) akan mendapat pulangan yang baik. Demikian juga penyimpan yang menyimpan di akaun simpanan (Al-Wadiah). Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah’ yang lebih menarik. Ini juga salah satu bentuk bantuan tetapi ia jarang sekali disedari oleh orang ramai.
Selain itu, keuntungan yang diperolehi daripada pihak bank yang melaksanakan sistem Perbankan Islam akan membolehkan bank-bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datang. Kesannya adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di Perbankan Konvensional yang ingin berhijrah dari sistem Riba’ (haram) kepada sistem Kewangan Islam (sistem Allah). Ini merupakan satu jihad bagi memerangi sistem riba’ yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran dan hadis nabi SAW secara jelas.
Oleh itu, sekali lagi saya katakan bahawa umat Islam perlu menyokong produk Islam yang terjamin kehalalannya.

Sebab pengharamannya
1.    Sebab pertama, Allah swt telah berfirman di dalam Al-quran yang bermaksud:
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqaroh: 75)
Ayat ini menjadi bukti yang sangat jelas bahawa umat Islam tidak boleh mengambil atau terlibat dengan sistem riba’.
2.    Sebab ke dua adalah dari firman Allah swt yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Maidah: 2)
Di dalam Tafsir Ibnu Kasir menyebut: Allah swt menyuruh orang-orang yang beriman agar tolong-menolong dalam semua perkara kebaikan dan itulah dinamakan kebajikan, manakala meninggalkan perkara-perkara yang haram itu adalah taqwa. Allah menyuruh orang-orang beriman agar tidak tolong-menolong dalam perkara yang zalim, dosa, dan membawa kerosakan.
Adakah kita sedar bahawa sistem konvensional ini secara tersiratnya membawa banyak kezaliman ke atas manusia. Tetapi masih ramai yang tidak menyedarinya.
Walaupun kita tidak mengambil faedah yang diberi kononnya kerana ingin menikmati kemurahan produk-produk yang ada pada bank Konvensional, sebenarnya kita tidak sedar bahawa kita sedang membantu bank ini mengukuhkan lagi kedudukannya. Maka dengan keuntungan itu, mereka akan mengembangkan lagi sistem riba’ di atas muka bumi Allah swt ini. Jelas bahawa ayat ini melarang keras umat Islam membantu pihak yang melakukan kezaliman.

Kecuali
Hukum ini tidaklah secara mutlak ke atas individu dalam semua hal keadaan, kerana manusia hari ini sangat berhajat kepada bank untuk menyimpan harta mereka atau pun membuat pinjaman daripada pihak bank dan sebagainya.
Hukum haram tersebut boleh berubah kepada hukum harus jika orang Islam itu berada di negara barat sebagai contoh, yang mana negara itu tidak mempunyai sistem perbankan Islam, maka dia boleh menggunakan sistem konvensional dalam keadaan darurat itu.

Fenomena Pelik Umat Islam Sekarang
Apabila kita melihat sahabat kita yang berada di negara barat, mereka terpaksa membayar dengan kadar yang lebih mahal untuk mendapatkan makanan yang halal. Sebagai contoh ialah ayam yang disembelih mengikut syariah lebih mahal daripada ayam yang biasa.
Umat Islam hari ini lebih mengambil berat soal pemakanan daripada soal menggunakan produk-produk syariah. Ya, memanglah ke dua-duanya haram, tetapi kita perlu sedar bahawa hukum riba’ lebih berat daripada hukum memakan ayam yang tidak disembelih secara syariah sebagai contoh. Tetapi inilah yang menjadi masalah besar bagi umat Islam, hanya melihat dari sudut yang lebih kecil berbanding sudut yang sangat besar di depan mata.

Kesimpulan
Firman Allah swt yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Arro’du: 11)
Kita sering mengimpikan kemenangan Islam daripada pelbagai sudut sama ada dari segi politiknya, ekonominya, sahsiyahnya, akhlaknya, dan pelbagai lagi. Jika kita hendak melihat perubahan itu, maka diri kita perlu diubah dahulu iaitu menyokong apa-apa sahaja perkara yang menyumbang kepada kegemilangan ummah dan Islam.
Ianya sangat adil bukan, kita lihat pada waktu awal permulaan Islam, mereka berjihad dengan menginfakkan harta yang sangat banyak seperti sayidina Abu Bakar, Umar, dan ramai lagi, mereka juga mengangkat senjata untuk mempertahankan Islam. Maka pengorbanan itu juga perlu ada pada diri kita semua, tetapi dengan nisbah yang lebih kecil iaitu dengan menyokong produk-produk dan sistem-sistem yang ada pada Islam, itulah jihad kita pada hari ini.
Sumber: http://fikrahhalaqah.com/
pssstttt..i read it through and now i know..at first jaja ada plan nak buat loan untuk kereta baru and bayar penuh hutang ptptpu..tapi encik tunang tak benarkan..suh jaja buat saving jer dulu. err..ker dia yang nak spend those expenses??? :p berangan laaaa kauuu jaja...kikiki

Ranking: 5

{ 0 Comments... read them below or add one }

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Anniversary tickers
lb1f.lilypie.com/TikiBlogger.php/eHUP
 
© Corat.Coret.Cikgu™ | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO