Indonesia: KL setuju satu tugas, gaji RM700

on Tuesday, April 3, 2012

بسم الله الرحمن الرحيم



KUALA LUMPUR – Dasar seorang pembantu rumah satu tugas dengan bayaran gaji minimum RM700 sebulan telah dipersetujui oleh Malaysia pada mesyuarat Pasukan Petugas Bersama di Putrajaya awal Januari lalu, demikian dakwa pegawai Kedutaan Indonesia, hari ini.
Sehubungan itu menurut Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia, Suryana Sastradiredja, tidak timbul soal pihaknya melaksanakan sesuatu di luar kandungan memorandum persefahaman (MoU) dan perkara yang dipersetujui oleh Malaysia dan Indonesia tahun lalu.
Pasukan Petugas Bersama dibentuk bagi membincangkan perincian MoU yang ditandatangani pada 30 Mei 2011.
Pada mesyuarat 10 Januari lalu, kata Suryana, pasukan tersebut telah mencapai persetujuan iaitu tugas pembantu rumah merangkumi empat jenis latihan yang ditawarkan iaitu pembantu rumah, pengasuh, penjaga orang tua dan memasak.
“Di mana majikan Malaysia hanya boleh pilih satu bidang tugas.
“Jika majikan memerlukan pembantu rumah membuat tugas tambahan, mereka perlu membuat perjanjian dan bersetuju dengan bayaran tambahan yang dipersetujui bersama (oleh majikan dan pembantu rumah),” kata beliau kepada Sinar Harian Online dalam satu pertemuan semalam.
Mengulas mengenai reaksi pemimpin negara ini yang menegaskan, Malaysia tidak pernah bersetuju dengan peruntukan itu, Suryana berkata, beliau sendiri tidak faham dengan perkembangan.
Katanya, kemungkinan wakil Malaysia dalam pasukan petugas itu tidak memaklumkan perkara yang dipersetujui kepada pemimpin mereka termasuk menteri.
“Sedangkan pada mesyuarat Pasukan Petugas Khas itu terdapat wakil antara kedua-dua negara dan mereka juga maklum mengenai persetujuan itu,” katanya.
Minggu lalu, Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman berkata, gaji minimun RM700 akan dibayar kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia.
Reyna juga dilapor berkata, amah terbabit hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada sebagai tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah.
Reyna mengetuai Pasukan Petugas Khas di pihak Indonesia.
Kenyataan beliau itu mencetuskan polemik dengan Malaysia mempertahankan bahawa akan berpegang pada kandungan MoU yang dipersetujui bersama tahun lalu.
Malah, Malaysia menegaskan soal gaji minimum RM700 dan satu tugas tidak pernah dipersetujui, dan tidak timbul.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula melahirkan kemusykilan beliau terhadap tindakan Indonesia menetapkan peraturan baru, antara lain memperuntukkan mereka hanya akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.
Kata Najib, peraturan baru yang diumumkan Reyna “tidak munasabah langsung.”
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam pula berkata, terpulang kepada Indonesia mahu menghormati atau tidak MoU berkenaan,
Beliau menegaskan, kementeriannya tidak akan berbincang atau merangka semula MoU yang sudah dipersetujui oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia, tahun lalu.
Menjelaskan isu ini, Suryana berkata, antara perkara lain yang dipersetujui ialah gaji minimun RM700 untuk satu pengkhususan tugas, pasport dipegang sendiri oleh pembantu rumah, satu hari kelepasan kerja (tidak kira hari, bergantung pada persetujuan bersama antara majikan dan pembantu rumah) serta majikan perlu membuka akaun bank untuk rekod pembayaran gaji.
Menurut beliau lagi, langkah itu diambil memandangkan sebelum ini tugas sebenar pembantu rumah tidak mempunyai justifikasi yang jelas, sehingga timbul beberapa masalah termasuk penderaan terhadap pembantu rumah yang gagal memenuhi kehendak majikannya, dan kes lari rumah kerana mereka tidak tahan bebanan kerja yang banyak.
“Sedangkan, tugas sebenar pembantu rumah ialah menguruskan kerja-kerja di rumah seperti mengemas, membasuh baju, menyapu, mengelap lantai dan mengosok pakaian.
“Namun, tugas mengasuh anak ataupun warga tua ialah satu bidang tugas lain kerana kedua-duanya melibatkan nyawa manusia.
“Adalah mustahil untuk mereka melakukan semua tugas itu dalam satu masa kerana tugas menguruskan manusia ini memerlukan kemahiran yang tinggi terutama mengasuh anak, khususnya bayi yang memerlukan kemahiran tertentu dan mereka bukan ‘superwoman’.
“Misalnya menjaga orang tua yang sakit memerlukan perhatian menyeluruh termasuk membersihkan diri warga tua dan memberi ubat ataupun suntikan… jika mereka dibebani dengan urusan tugas yang lain, boleh menimbulkan masalah di kemudian hari,” jelas Suryana.
Sehubungan itu, bagi memastikan bekalan tenaga kerja yang dihantar ke Malaysia benar-benar berkemahiran dalam bidang pengkhususan ini, maka sebab itulah kerajaan Indonesia mewajibkan mereka untuk menjalani latihan selama 200 jam.
Indonesia sebelum ini melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia berikutan beberapa kejadian penderaan.
Pembekuan sementara itu ditarik balik pada 1 Disember lepas, susulan kesepakatan yang dicapai Najib dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali November lalu.
Indonesia sepatutnya memulakan penghantaran pembantu rumah ke negara ini mulai bulan ini. Bagaimanapun dianjak ke bulan depan.
Ditanya jika rakyat Malaysia menolak untuk mengambil khidmat pembantu rumah dari Indonesia, Suryana menegaskan, rakyat Indonesia sendiri jika mereka sudah mempunyai kemahiran yang tinggi, pasti tidak akan memilih negara ini untuk bekerja.
“Mereka pastinya akan memilih untuk bekerja di negara lain seperti Hong Kong, Singapura ataupun Arab Saudi yang menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi berbanding di sini,” katanya lagi.
Sinar
Ranking: 5

{ 0 Comments... read them below or add one }

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Daisypath Anniversary tickers
lb1f.lilypie.com/TikiBlogger.php/eHUP
 
© Corat.Coret.Cikgu™ | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO