بسم الله الرحمن الرحيم
Hukum menyambut ‘April Fool’s Day’
Presiden Persatuan Ulama Dunia, Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyebut:
Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda : Orang munafik mempunyai tiga ciri : Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda SAW bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
Rasulullah SAW juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi SAW turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]

